Pas jamin pelihara hak masyarakat majmuk
SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Pusat menegaskan pembinaan negara sejahtera yang dibawa parti itu dalam kerajaan baharu tetap memelihara hak dan kewujudan masyarakat majmuk di negara ini.
Ketuanya, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ini kerana pendekatan dibawa Pas berpandukan prinsip keadilan mutlak dan kemanusiaan sejagat menerusi lunas perundangan dan peruntukan Perlembagaan.
"Asas keadilan yang dibawa oleh Islam adalah mendekatkan diri dengan penganut Islam kepada ketakwaan.
"Sebab itu, hak masyarakat majmuk pasti terpelihara dan terjamin di bawah pemerintahan berasaskan agama Islam dalam penerapan negara sejahtera," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, sejarah Islam terdahulu jelas menunjukkan masyarakat majmuk telah pun wujud di bawah pemerintahan Islam dan tidak mengabaikan kebajikan mereka malahan tetap diberikan keadilan yang sama sebagaimana masyarakat Islam.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, pihaknya juga mendukung penegasan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berulang kali menyebutkan perihal masyarakat majmuk yang mesti diambil kira dalam pelantikan Kabinet.
Jelasnya, ia bertujuan untuk memastikan kestabilan politik dan mengharmonikan kewujudan masyarakat majmuk yang sedia ada di dalam negara Malaysia ini sejak awal kemerdekaannya terdahulu.
"Ini jelas menunjukkan komitmen Pas dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai sebahagian kerajaan Pusat pada hari ini dalam mengharmonikan kewujudan masyarakat majmuk dengan menjamin hak dan kewujudan mereka," katanya.
Mengulas lanjut, berdasarkan rekod sejarah pentadbiran Pas khususnya di Kelantan sepanjang 30 tahun menjadi model negeri yang ditadbir dengan panduan agama Islam dilihat tidak melakukan sebarang kezaliman atau penindasan ke atas penganut selain Islam serta menjamin kebajikan semua rakyat pelbagai kaum di negeri tersebut.
"Ini kerana perintah agama menyuruh umatnya menjadi 'suasana' yang baik dan 'hati' orang lain umumnya.
"Inilah amalan dan pegangan yang dibawa dalam dasar pentadbiran Pas sebagai bukti komitmen memelihara kewujudan masyarakat majmuk dalam pentadbiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!