Eky gembira buka 'akaun' gol
PENYERANG Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi mengakui gembira apabila berjaya meledakkan gol ketika membantu The Bos Gaurus melakar keputusan seri 1-1 menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Menurutnya, ia adalah gol pertamanya bersama Perak musim ini sekali gus menyuntik semangatnya untuk memberikan aksi yang lebih baik bersama skuad The Bos Gaurus itu.
“Alhamdulillah syukur, saya mula buka ‘akaun’ (jaringan) saya musim ini. Namun mungkin bukan rezeki kami untuk bawa pulang tiga mata.
“Bagi saya, semua pemain beraksi dengan baik tetapi bagi saya mungkin ‘tuah’ tidak menyebelahi kami malam ini. Saya gembira dapat membantu pasukan.
"Sebelum ini mungkin bukan rezeki saya kerana mungkin jurulatih ada keputusannya sendiri untuk menurunkan pemain. Jadi saya kena berikan aksi terbaik untuk pergi lebih jauh dalam bola sepak,” katanya.
Pada perlawanan itu, Shahrel Fikri membuka tirai jaringan pada minit kelapan sebelum penyerang Selangor, Ifedayo Olusegun menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31 sekali gus menafikan hasrat Perak tiga mata.
Dalam pada itu Shahrel Fikri berkata, hubungannya dengan pemain import Guilherme De Paula sebagai rakan sepasukan setakat ini dalam keadaan yang baik.
"Kami juga pernah digandingkan pada aksi persahabatan pra-musim baru-baru ini. Ia juga dilihat baik dalam membantu persiapan pasukan.
"Apa pun, setakat ini hubungan saya dengan De Paula baik dan bagi saya, dia adalah seorang pemain yang bagus. Dia kelihatan sempurna," katanya.
Katanya, keadaan itu diharap berterusan selepas ini terutama dalam membantu mengukuhkan jentera serangan pasukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!