Enam beranak hilang tempat tinggal
KEMAMAN - Sebuah rumah yang didiami enam beranak musnah dalam kebakaran di Jalan Hospital, Kampong Gong Pauh di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, rumah jenis papan itu musnah 100 peratus namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 11.07 pagi.
"Seramai 27 anggota dari BBP Chukai dan BBP Kemaman dengan dua jentera FRT, sebuah water tanker, kenderaan EMRS dan kenderaan utiliti bergegas ke lokasi kejadian.
"Kami tiba di lokasi jam 11.13 pagi dan berjaya mengawal api daripada merebak 10 minit kemudian sebelum operasi tamat jam 12.07 tengah hari.
"Semua penghuni sempat menyelamatkan diri ketika kebakaran membabitkan sebuah rumah berkeluasan 20 x 70 kaki persegi ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, anggaran kerugian dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan forensik bomba.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!