Agih wang: Sudah-sudahlah menipu rakyat

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik politik lapuk yang tidak boleh diterima sama sekali.

Itu pendapat Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung penjelasan DAP berkaitan gambar pengagihan wang yang tular di laman sosial hari ini.

“Sudah-sudahlah menipu rakyat.

“Kenyataan DAP mendakwa gambar pemberian wang kepada masyarakat orang Asli yang tular di media sosial adalah sebagai pembayaran kepada jentera parti adalah suatu taktik politik lapuk yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau tetap mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat kemungkinan wujudnya rasuah politik di PRK Cameron Highlands meskipun penjelasan telah dibuat.

“Pemuda Umno sekali lagi mendesak agar pihak SPR dan SPRM melakukan penyiasatan segera dan mengambil tindakan tegas dan pantas tanpa memilih kasih.

“Ini kerana, jelas perbuatan menyogok pengundi adalah bertentangan dengan Seksyen 10 (a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 walau atas nama apa sekalipun,” tegas beliau.

Tambah beliau, jika Datuk C Sivarraajh boleh dibatalkan statusnya sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands kerana didakwa memberi suapan kepada Orang Asli, apa bezanya dengan calon PH kali ini.

Artikel Berkaitan:

“Apakah selepas ini, DAP dan PH akan menjadikan semua pengundi di kalangan masyarakat Orang Asli sebagai jentera parti bagi menghalalkan pemberian Rasuah politik bagi menagih undi?” soal beliau.

Hari ini tular di media sosial gambar menunjukkan seorang wanita memakai baju dengan logo PH mengagihkan wang kepada beberapa pemuda yang memakai baju sama.

Tindakan itu pantas mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Begitupun, PH menegaskan wang diagihkan dalam gambar yang tular di media sosial merupakan pembayaran balik penampungan kos petrol kepada sukarelawan-sukarelawan mereka.

Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet berkata, sukarelawan-sukarelawan itu datang dengan motosikal sendiri dari rumah mereka di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!