Staf positif Covid-19, urusan seperti biasa di Menara Maybank

Maybank sudah mengambil langkah yang perlu selepas seorang staf Menara Maybank disahkan positif Covid-19.
Maybank sudah mengambil langkah yang perlu selepas seorang staf Menara Maybank disahkan positif Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Maybank memberi jaminan tiada gangguan ke atas semua perkhidmatannya di Menara Maybank, Jalan Tun Perak di sini kerana sudah mengambil semua langkah yang perlu selepas seorang pekerjanya positif koronavirus (Covid-19).

Bank itu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pekerja tersebut kini sedang menerima rawatan di hospital kerajaan.

"Pekerja berkenaan menjalani kuarantin di rumah sejak 1 Mac, pada hari yang sama bank dimaklumkan bahawa ahli keluarga pekerja tersebut diuji untuk virus itu dan kemudiannya disahkan positif.

"Langkah-langkah kuarantin di rumah itu adalah mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan bank berhubung Covid-19," menurut bank itu.

Menurutnya, Maybank sudah melaksanakan kerja pembersihan menyeluruh di tingkat terjejas di bangunan itu dan kemudahan umum lain, mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Pengesanan kontak terperinci juga dijalankan untuk mengenal pasti serta memaklumkan mereka yang mempunyai hubungan langsung dengan pekerja tersebut dan mereka menjalani kuarantin di rumah selain pemeriksaan perubatan," menurut kenyataan itu.

Jurucakap Maybank berkata, selain daripada membersihkan pejabat secara rutin, semua pekerja yang berdepan pelanggan diberikan peralatan perlindungan diri.

"Cecair pembasmi kuman bagi tangan disediakan untuk kegunaan kakitangan dan pemeriksaan suhu badan juga dilakukan setiap hari dalam usaha memastikan kesejahteraan kakitangan dan pelanggan bank.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan terus melaksanakan langkah-langkah sewajarnya selagi diperlukan kerana keselamatan para pelanggan dan kakitangan menjadi keutamaan kami," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!