Covid-19: Arab Saudi gantung pergerakan di wilayah Qatif
RIYADH - Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi hari ini mengumumkan ia akan mengehadkan pergerakan di Qatif sebagai usaha membendung penularan koronavirus (Covid-19).
Langkah berjaga-jaga itu dibuat selepas kesemua 11 kes jangkitan virus itu dilaporkan di Qatif yang didiami penduduk minoriti Syiah.
Di bawah langkah itu, pergerakan dari dan ke wilayah tersebut akan digantung sementara, namun penduduk yang berada di luar kawasan tersebut dibenarkan kembali ke Qatif.
Selain itu, pejabat sektor swasta dan kerajaan juga akan ditutup secara sementara kecuali agensi yang menyediakan perkhidmatan penting dan keselamatan seperti farmasi, stesen minyak, penjagaan kesihatan, alam sekitar, perbandaran dan kemudahan keselamatan serta kedai.
Difahamkan, pengangkutan untuk bekalan barangan masih dibenarkan memasuki wilayah itu, namun dikenakan langkah tertentu untuk menjamin kesihatan awam. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!