Bunga matahari simbol memperingati MH17
AMSTERDAM - Bunga matahari biasanya membawa senyuman kerana warna kuningnya yang ceria.
Bagaimanapun perasaan itu tidak sama buat Piet Ploeg yang kehilangan abangnya, Alex, kakak ipar dan anak saudara lelaki dalam insiden penerbangan MH17 pesawat Malaysia Airlines yang ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014.
"Sebelum insiden MH17, saya sangat suka bunga matahari tetapi selepas (tragedi) MH17 saya benci bunga matahari kerana ia membawa saya kembali kepada kenangan yang amat sedih.
"Saya tidak suka melihat bunga matahari," katanya kepada wartawan Malaysia ketika lawatan ke Monumen Nasional MH17 di Vijfhuizen berhampiran lapangan terbang Schiphol.
Beberapa bahagian bangkai pesawat MH17 ditemui di ladang bunga matahari di Ukraine.
Ploeg yang juga Pengerusi Yayasan Bencana Penerbangan MH17 berkata, mereka menanam bunga matahari di kawasan itu bagi memperingati tragedi tersebut.
Selain itu, 298 pokok turut ditanam di kawasan peringatan berkenaan yang dilabel dengan nombor, nama, umur dan kewarganegaraan mangsa yang terbunuh dalam insiden tersebut.
“Semasa kemuncak musim panas, pokok-pokok ini dikelilingi lebih 20,000 bunga matahari, sama seperti di ladang bunga matahari di timur Ukraine," katanya.
Ditanya perasaannya terhadap perbicaraan MH17 yang akan bermula esok, Ploeg berkata, beliau tidak sabar untuk mengetahui kebenaran melalui prosiding itu.
"Semasa perbicaraan, kita akan tahu apa yang berlaku, mengapa ia berlaku, siapa yang bertanggungjawab," katanya.
Sementara itu, Anton Kotte, Bendahari Yayasan Bencana Penerbangan MH17 juga berharap perbicaraan itu akan membawa keadilan kepada semua ahli keluarga mangsa.
Beliau kehilangan anak lelaki, menantu dan cucu berusia enam tahun dalam tragedi itu.
Perbicaraan yang dijadual berlangsung di Mahkamah Daerah The Hague, di Kompleks Kehakiman Schiphol (JCS) di Badhoevedorpm esok akan menyaksikan prosiding jenayah ke atas empat individu dituduh menembak jatuh pesawat MH17,
Empat individu berkenaan, tiga warganegara Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov serta seorang warganegara Ukraine, Leonid Kharchenko.
Penerbangan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh ketika melewati ruang udara Donetsk di Ukraine.
Insiden itu mengorbankan 298 penumpang termasuk 15 anak kapal termasuk 43 rakyat Malaysia, 193 dari Belanda dan 27 warganegara Australia. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Empat perancang utama MH17 dikenal pasti
MH17: Kerajaan akan terus cari keadilan bagi mangsa
Kes MH17 mula diadili Isnin ini di Belanda
Keluarga mangsa MH17 boleh beri kenyataan, tuntut kerugian
Usaha Malaysia dapatkan kotak hitam MH17 dipuji
Ukraine sambut baik perbicaraan MH17: Duta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!