Indonesia, Singapura catat penambahan kes Covid-19

No Image Caption
A
A
A

JAKARTA - Indonesia hari ini mengesahkan dua lagi kes jangkitan koronavirus (Covid-19), sekali gus menjadikan jumlah pesakit yang disahkan positif virus itu kini mencecah enam orang.

Kementerian Kesihatan memaklumkan salah seorang daripada pesakit itu merupakan kru kapal persiaran, Diamond Princess berusia 36 tahun manakala seorang lagi jangkitan tempatan melibatkan lelaki berumur 55 tahun di Jakarta.

"Kedua-duanya berada dalam keadaan stabil dan tidak diserang demam atau mengalami simptom seperti batuk-batuk atau kesukaran bernafas," kata jurucakap di kementerian itu, Achmad Yurianto.

Isnin lalu, Indonesia yang sejak beberapa minggu lalu bebas jangkitan Covid-19 melaporkan kes pertama jangkitan virus itu melibatkan dua beranak di Depok berhampiran ibu negara.

Di Singapura, sebanyak 12 kes jangkitan baharu direkodkan termasuk sembilan yang ada kaitan dengan kluster SAFRA Jurong yang melibatkan majlis makan malam yang diadakan di restoran Joy Garden pada 15 Februari lalu.

Kluster SAFRA Jurong itu kini mencatatkan sebanyak 30 kes jangkitan dan jumlah keseluruhan kes di Singapura kini mencecah 150 manakala 90 pesakit didakwa telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

Di Hong Kong, seorang wanita berusia 76 tahun meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 dan menjadi kematian ketiga di bandar raya tersebut.

Pesakit terbabit diserang demam, sukar untuk bernafas, batuk-batuk dan sakit perut ketika dimasukkan ke hospital pada 28 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Hab kewangan Asia itu turut mencatatkan empat kes jangkitan baharu dan menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 14 kes. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!