Tidak berlaku rampasan kuasa diraja
DEMOKRASI Berparlimen di Malaysia masih kekal bernyawa, namun sewaktu peristiwa yang berlaku antara 23 Februari hingga 29 Februari lalu yang membawa kepada penamaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Kelapan, kelihatan semacam ada sesuatu yang gagal digarap dengan betul; pemahaman bahawa Malaysia juga adalah negara Raja Berperlembagaan.
Di bawah sistem Raja Berperlembagaan, ketika Perdana Menteri meletakkan jawatan atau kehilangan keyakinan ahli Parlimen dalam badan perundangan yang dibentuk 222 orang, maka raja dikenali di Malaysia sebagai Yang di-Pertuan Agong perlu campur tangan.
Oleh itu, Malaysia memiliki gabungan dua sistem yang berfungsi memastikan kepentingan semua rakyat di negara ini sekiranya berlaku kekosongan eksekutif yang terjadi hasil daripada kebuntuan di Parlimen atau dalam kes itu, peletakan jawatan secara mengejut oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Februari sebelum beliau dilantik semula oleh Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sama sebagai Perdana Menteri Interim.
Ketika kerajaan Pakatan Harapan runtuh pada 24 Februari kerana peletakan jawatan Dr Mahathir dan ketika itu, peranannya sebagai Perdana Menteri Interim membolehkan terbentuknya kerajaan sementara yang terdiri daripada calon-calon yang dipilih oleh parti masing-masing atau Perdana Menteri sementara itu sendiri sehinggalah kebuntuan politik itu dihuraikan.
Memandangkan ketidakpastian politik itu berlaku secara mendadak yang boleh membawa kepada permainan takhta yang tidak berkesudahan dalam menetapkan calon kegemaran masing-masing sebagai Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong terpaksa bertindak pantas.
Seandainya tidak bertindak pantas dan tegas sejajar dengan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, beliau akan dituduh mendedahkan Malaysia kepada cabaran serius politik dan ekonomi.
Matlamatnya adalah untuk mengelakkan ketidakpastian menjadi lebih buruk lagi dalam suasana negara menghadapi cabaran penyebaran wabak atau kelemahan ekonomi yang boleh menyukarkan pihak berkuasa kesihatan di Malaysia untuk bertindak balas dengan penuh fokus.
Lantaran itu, terdapat keperluan untuk melantik Perdana Menteri yang baharu dengan segera. Pada Februari 25-26, Yang di-Pertuan Agong sendiri telah mengendalikan wawancara dengan semua 222 ahli Parlimen. Semua ahli perundangan itu diajukan tiga soalan, seperti yang telah didedahkan kepada pihak akhbar.
Pertama, apakah ahli Parlimen akan menyokong Dr Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya mempunyai blok terbesar undi di Parlimen atau secara potensinya Muhyiddin yang juga boleh memungut undi, walaupun daripada pelbagai parti politik, beberapa daripadanya adalah nasionalis Melayu manakala yang lainnya adalah daripada parti Pas.
Tiada rampasan kuasa diraja seperti yang didakwa akhbar Britain, The Guardian. Segala-galanya dilaksanakan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Malah, Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah mengumumkan, di bawah nasihat Perdana Menteri, sidang parlimen akan datang berlangsung pada 18 Mei 2020 selama 15 hari.
Salah faham terhadap Malaysia dapat difahami ramai penganalisis dan pemerhati setempat dan luar negara apabila mereka gagal memahami negara yang mempunyai sistem Raja Berperlembagaan. Malaysia juga satu rejim politik berdasarkan sistem pemerintahan 'Whitehall'.
Semak dan imbang tetap menjadi struktur penting negara dan keadaan itu akan terus kekal walaupun dengan dominasi demografi oleh orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Tidak akan ada kezaliman majoriti ke atas golongan minoriti.
* Dr Rais Hussin ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Pengerusi Biro Strategi dan Dasar parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!