Masa untuk maju ke hadapan
PENGHUJUNG Februari menyaksikan konflik kepimpinan politik memasuki tahap kemuncaknya.
Pelbagai spekulasi timbul dan menyesakkan nafas rakyat marhaen kerana konflik yang tercetus akibat perbuatan segelintir pihak yang hanya memikirkan jalur politik masing-masing tanpa mengira kepentingan rakyat.
Awal Mac pula menyaksikan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong meleraikan konflik itu dengan penuh hikmah.
Satu tindakan di luar kotak apabila Yang di-Pertuan Agong meletakkan keputusan dan diri baginda pada suatu tahap yang berbeza.
Pastinya, keputusan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan bukanlah sesuatu yang mudah tetapi boleh dilihat sebagai jalan terbaik meleraikan kemelut tersebut.
Terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil. Pertama, konflik berlaku disebabkan oleh sikap tidak sabar.
Setelah menjadi kerajaan, persoalan siapa Perdana Menteri berterusan menjadi agenda utama dalam kerajaan Pakatan Harapan.
Kedua, terlalu banyak isu yang berkaitan agama, etnik dan dasar fundamental negara gagal ditangani dengan berhemah.
Ketiga, politik identiti yang semakin meruap tidak diurus dengan baik, sebaliknya hanya terfokus kepada identiti etnik semata-mata sedangkan identiti ideologi dan jantina terus menekan warga.
Keempat, impak ekonomi makro dan mikro terhadap rakyat tidak menampakkan kesan langsung, walaupun dengan pelbagai agenda yang telah dirangka.
Cabaran pendapatan isi rumah, kenaikan kos hidup dan pembangunan lestari luar bandar terus menjadi keutamaan rakyat tetapi tidak dalam kalangan elit politik.
Kelima, proses transisi memperlihat bahawa pentadbiran awam adalah nadi kepada kelangsungan negara.
Peranan Ketua Setiausaha Negara serta pegawai pentadbiran awam pelbagai pangkat secara apolitikal dan profesional terus menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri disambut baik tetapi dilihat terbeban dengan kehendak rakyat dan kehendak elit politik.
Hadapan
Bagi membawa Malaysia mengorak langkah ke hadapan terdapat beberapa perkara utama yang perlu dilihat.
Pertama, polisi fiskal dan polisi kewangan. Pelantikan menteri Kabinet untuk portfolio itu mesti berdasarkan kepakaran individu.
Keyakinan pelabur luar perlu ditingkatkan agar pembangunan ekonomi dapat dijajar dengan baik dalam waktu kepimpinan yang terhad ini.
Kedua, segala persoalan integriti, bersih dan amanah perlu menjadi panduan dalam pentadbiran itu.
Kabinet baharu perlu didasari individu yang mempunyai kualiti sejajar kehendak Perdana Menteri dan rakyat, dan bukan berdasarkan kedudukan individu di dalam parti-parti yang memerintah.
Perdana Menteri harus melihat gambaran luas di luar kerangka elit politik. Semua prosiding mahkamah yang sedang berlangsung harus diserahkan kepada mahkamah untuk ditentukan.
Ini sangat penting, kerana kejatuhan rejim pada PRU14 yang lepas adalah kerana faktor integriti.
Ketiga, dampak pasca Mac 2020 perlu diperhalusi dan ditangani dengan berhemah. Penjajaran semula kerajaan negeri perlu dilihat di luar konteks politik naungan.
Pertembungan Persekutuan dan negeri perlu dilihat sejelas mungkin supaya kepentingan rakyat tidak dikompromi.
Keempat, pelantikan dan pengguguran kakitangan lantikan perlu dibuat secara berhikmah.
Banyak perkara yang tidak ditangani dengan baik sewaktu transisi pasca PRU14. Pertukaran pegawai pentadbiran utama negara perlu ditangani dengan telus dan terus.
Lantikan atas asas politik perlu dilihat semula. Yang utama, ialah lantikan berdasarkan kredibiliti, bukan atas dasar parti semata.
Pemimpin agung hadir pada waktu yang sukar. Jadikan yang lepas sebagai pedoman, sekarang adalah masa untuk maju ke hadapan.
* Dr Mohd Azmir Mohd Nizah ialah Ketua Program Pasca Siswazah Generik, Universiti Sains Islam Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!