Menu singgang bangkit selera ketika demam

Menu singgang mengandungi khasiat semulajadi yang tersendiri serta kaya antioksidan. Gambar kecil: Aryati Ahmad
Menu singgang mengandungi khasiat semulajadi yang tersendiri serta kaya antioksidan. Gambar kecil: Aryati Ahmad
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cara penyediaan menu singgang yang ringkas tidak boleh dipandang enteng kerana ia mempunyai khasiat tersendiri yang mampu membangkitkan selera ketika demam.

Ramuan ringkas itu dipercayai lebih berkhasiat jika dihidangkan secara alami dengan tidak memasukkan bahan perasa tambahan MonoSodium Glutamat (MSG).

Pengarah Pusat Pengurusan Kecemerlangan & Inkubator Penyelidikan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Madya Dr Aryati Ahmad berkata, menu itu mengandungi komponen sebagai antioksidan yang baik untuk kesihatan.

"Secara am singgang ikan adalah menu sihat kerana ia rendah lemak dan berasaskan ikan malah lebih sihat jika menggunakan bahan segar serta kurang garam.

"Bahan-bahan utama yang digunakan dalam menu itu seperti kunyit dan lengkuas mempunyai komponen bioaktif bertindak sebagai antioksidan yang baik untuk kesihatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya masih banyak kajian yang perlu dijalankan bagi mengesahkan sama ada ia mampu merawat penyakit koronavirus (Covid-19) seperti yang tular di media sosial,

"Buat masa ini belum ada kajian dijalankan untuk menguji ikan singgang atau bahan-bahan digunakan bagi menu ini ke atas virus Covid -19.

"Jadi, kita tidak boleh kata sama ada ia boleh rawat atau sebaliknya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, tular di media sosial bahawa singgang dikatakan berpotensi merawat penyakit Covid-19.

Senada dengan Aryati, Pensyarah Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Azizah Mahmood berkata, setakat ini belum ada kajian khusus dijalankan terhadap menu itu.

Namun, katanya, menu singgang mengandungi pelbagai ramuan dan bahan yang mampu untuk menghapuskan mikrob.

Sebelum ini tular di media sosial mengatakan menu ikan singgang mampu merawat Covid-19 sehingga menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!