Apa cerita Sidang DUN Kelantan nanti?

No Image Caption
A
A
A

APABILA termeterainya gagasan Muafakat Nasional yang dianggotai dua parti Melayu terbesar iaitu Pas dan UMNO pada tahun lalu, suasana politik Kelantan dengan sendirinya bertambah menarik perhatian ramai dan penuh dengan teka-teki.

Tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi detik bersejarah.

Penyertaan Mustapa atau lebih dikenali sebagai Tok Pa dalam Bersatu menyaksikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) juga kerusi tunggal milik pembangkang ketika negara dikuasai Pakatan Harapan (PH).

Senario itu menyaksikan hanya Tok Pa sebagai wakil tunggal yang mewakili kerajaan Persekutuan dan suara rakyat, namun penulis melihat keberadaan Tok Pa dalam sidang DUN itu tidak memberikan implikasi yang besar kerana tidak mempunyai kumpulan pembangkang dan hanya menyaksikan beliau seorang yang menyuarakan isu semasa.

Dalam tempoh itu, keberadaan Tok Pa ketika Sidang DUN hanya mampu menyentuh sepintas lalu berkenaan isu rakyat tetapi tidak mendapat ‘semangat’ sepasukan seperti beliau berada dalam lingkungan parti Barisan Nasional (BN) dulu.

Bagaimanapun, selepas penantian diharapkan kerajaan Kelantan dan rakyat khasnya menyaksikan terbentuknya Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Dengan wujudnya perikatan itu secara tidak langsung negeri yang dikuasai Pas dan UMNO dianggap sebagai negeri sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Keadaan itu memberi satu implikasi besar negeri Cik Siti Wang Kembang kerana semenjak tahun 1990, selepas Angkatan Perpaduan Ummah memenangi Kelantan dan selepas pentadbiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Kelantan dianggap sebagai kubu kuat Pas yang sukar ditembusi UMNO.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun dalam tempoh tersebut, Pas juga dianggap sebagai negeri pembangkang tegar dan yang sentiasa kita dengar Kelantan sentiasa dipinggirkan dan dianaktirikan dari sudut arus pembangunan.

Bagaimanapun, menjelang sidang DUN Kelantan pada 23 Mac ini, penulis menjangkakan tiada isu-isu hangat, masalah yang membelenggu rakyat dapat dibahaskan memandangkan kesemua kerusi pembangkang sebelum ini termasuklah kerusi Tok Pa sudah pun sealiran dengan kerajaan Persekutuan.

Jika sudah sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, maka tentu sekali isu-isu rakyat tidak dapat dibahaskan secara terperinci bagi memelihara hubungan antara parti dan juga ahli dewan dalam konteks PN itu.

Justeru, persoalan yang timbul adakah masalah rakyat masih tidak dapat dibangkitkan?

Bagaimana pula dengan defisit perbelanjaan kerajaan negeri, pengurusan kewangan negeri yang sebelum ini dikritik bahawa kewangan di Kelantan sentiasa defisit.

Adakah perkara seumpama itu tidak akan dibahaskan pada sidang DUN kali ini disebabkan mahu menjaga hubungan antara parti?

Bagaimana pula dengan kerusi Ketua Pembangkang dalam Dewan? Secara automatiknya, sebagaimana dimaklumkan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar ketika disoal oleh media memaklumkan: “Kelantan sudah tidak ada pembangkang, manakala kerusi tunggal milik Mustapa itu mungkin diubah sebaris dengan ADUN yang lain.”Sekarang kita akan melihat persidangan DUN menyaksikan kesemua ahli dewan berbahas secara aman damai dan harmoni.

Keadaan dewan mungkin menjadi cool kerana ahli dewan akan membahaskan perkara yang sejajar dengan dasar kerajaan Persekutuan.

Jika sebelum ini, para media dan pemerhati yang hadir menunggu saat ketika mana perbahasan, detik-detik mencelah meminta kebenaran mendapatkan laluan berhujah dan waktu-waktu Ahli Yang Berhormat meninggikan suara.

Mungkin selepas ini para wartawan hanya melaporkan cerita-cerita yang mendatar sahaja. Tidak perlu lagi ‘membuka mata’ dan menajamkan pendengaran seperti sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!