APMM gagalkan cubaan seludup barang kosmetik

Rosli (tengah) menunjukkan antara barang yang dirampas susulan penahanan sebuah bot barter trade di 0.2 batu nautika Pelabuhan Barat Klang, kelmarin.
Rosli (tengah) menunjukkan antara barang yang dirampas susulan penahanan sebuah bot barter trade di 0.2 batu nautika Pelabuhan Barat Klang, kelmarin.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kelmarin merampas jamu dan barangan kosmetik yang disyaki diseludup dalam operasi di 0.2 batu nautika Pelabuhan Barat Klang.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, cubaan menyeludup barangan bernilai kira-kira RM318,167 itu dikesan selepas anggota Maritim mendapati sebuah bot barter trade dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 3.40 petang.

Menurutnya, 10 warga Indonesia berusia lingkungan 28 hingga 44 tahun ditahan dan pemeriksaan lanjut menemui pelbagai barangan kosmetik dan jamu yang tidak diisytihar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Kita dapati kesemua barang ini disorok di bawah timbunan barangan makanan dan sayuran bagi mengaburi pihak berkuasa menemui barangan terbabit. Antara yang ditemui ialah jamu, minyak kayu putih, madu dan losyen," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat APMM Selangor, Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Antara barang yang dirampas susulan penahanan sebuah bot barter trade di 0.2 batu nautika Pelabuhan Barat Klang, kelmarin.
Antara barang yang dirampas susulan penahanan sebuah bot barter trade di 0.2 batu nautika Pelabuhan Barat Klang, kelmarin.

Katanya, bot bernilai RM300,000 yang dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Indonesia ke Jeti Asa Niaga, Pelabuhan Klang turut disita.

"Siasatan masih dijalankan dan kesemua suspek kini direman sembilan hari sehingga Isnin depan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(A) Akta Kastam 1967, Peraturan 7 dan 18A Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Peraturan 130 Peraturan Makanan 1985.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!