Azam Baki dilantik terajui SPRM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki dilantik mengisi kekosongan Ketua Pesuruhjaya yang ditinggalkan penyandangnya, Latheefa Koya.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, lantikan tersebut berkuatkuasa hari ini.
"Selaras dengan subseksyen 5(1) Akta 694, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan lantikan tersebut," katanya.
Menurutnya, Agong turut memperkenankan permohonan Latheefa untuk memendekkan perkhidmatan kontraknya berkuatkuasa hari ini.
"Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Latheefa atas perkhidmatan beliau kepada negara selama beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sah Latheefa Koya lepaskan jawatan
Azam, 57, mempunyai pengalaman lebih 30 tahun bersama suruhanjaya itu dengan memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pegawai Siasatan di Badan Pencegahan Rasuah (BPR) berpangkat Penolong Penguasa di Bahagian Perisikan pada tahun 1984.
Jumaat lalu, SPRM mengesahkan Latheefa telah menghantar surat permohonan peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Mac lalu.
Latheefa dilantik memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!