Bertuala sembunyi dalam siling
BESUT - Panik dengan kehadiran anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), seorang pesara tentera nekad bersembunyi dalam siling dengan hanya memakai tuala dalam satu operasi awal pagi tadi.
Suspek berusia 45 tahun dan mempunyai enam orang anak itu bertindak demikian selepas menyedari rumahnya di Jertih diserbu AADK melalui Operasi Cegah bermula jam 2 pagi tadi.
Ketua Pegawai AADK Besut, Noor Hafizza Mat Zin berkata, ketika tiba di rumah suspek, pihaknya melihat pesara tersebut berlari naik ke atas siling dengan meninggalkan anak dan isterinya.
“Setelah usaha memujuk suspek supaya turun gagal, seorang anggota AADK terpaksa naik ke atas siling dan berlaku pergelutan dengan suspek hingga menyebabkan anggota berkenaan lebam di bahagian pinggang kiri.
“Suspek akhirnya mengalah dan turun sebelum dibawa ke pejabat AADK Besut untuk siasatan lanjut. Keadaan anggota yang cedera pula tidak serius,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurut Noor Hafizza, suspek yang bersara daripada askar sejak tiga tahun lalu dan kini tidak bekerja positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983, Pindaan 1998.
Beliau berkata, suspek merupakan antara lima individu berusia antara 20 hingga 45 tahun yang ditahan dalam operasi yang diadakan secara berkala bagi membasmi aktiviti penyalahgunaan dadah.
Operasi yang diketuai oleh Penolong Pegawai Antidadah (Penguatkuasaan & Keselamatan) AADK Besut, Ahmad Ismail Abdul Wahab itu disertai 10 anggota AADK.
“AADK tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penyalahgunaan dadah dan operasi seumpama itu akan diteruskan dari masa ke semasa. Kita juga mengharapkan maklumat orang ramai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!