Bendung penipuan Macau Scam: KP Johor
Bendung penipuan Macau Scam: KP Johor
TANGKAK - Badan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diseru untuk sama-sama membantu menghebahkan kepada orang ramai mengenai gejala penipuan Macau Scam.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, tindakan ini penting sebagai memberi peringatan kepada masyarakat khususnya penduduk setempat untuk membendung kejadian ini selepas sindiket berkenaan dilihat semakin aktif memperdayakan mangsa.
Menurut beliau, badan-badan persatuan dan NGO boleh menjadikan rumah ibadah masing-masing iaitu masjid, kuil, gereja dan tokong bagi berkongsi maklumat ini.
“Dalam sesi Town Hall kali ini, topik berkaitan penipuan Macau Scam dilihat masih menjadi antara isu utama. Meskipun hebahan dah dibuat termasuk paparan di surat khabar dan televisyen, namun saya dapati makluman ini ada yang tak sampai kepada segelintir masyarakat.
“Kemungkinan besar kita memerlukan NGO yang merangkumi pelbagai kaum dan persatuan itu sendiri. Mungkin golongan ini boleh adakan sesi penerangan macam di gereja, masjid dan sebagainya agar modus operandi penipuan itu sampai kepada masyarakat terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program Town Hall Discussion PDRM Johor anjuran bersama oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dan IPD Muar di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din; Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip dan Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri.
Menurut Mohd Khalil, meskipun penipuan berkaitan Macau Scam di Johor masih lagi terkawal, namun kadar jenayah itu dilihat sedikit meningkat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Bagi tahun 2017, kita terima 416 kes dan tahun lalu pula sebanyak 515 kes iaitu peningkatan sebanyak 23.8 peratus.
“Manakala, jumlah kerugian pada 2017 adalah sebanyak RM 12.076 juta (RM12,076,438.31) dan 2018 pula bernilai sehingga RM24.28 juta (RM24,275,952.63) yang mana ia meningkat sehingga dua kali ganda,” katanya.
Mohd Khalil berkata, hebahan berkaitan kesedaran ini penting ekoran mangsa yang diperdaya bukan hanya membabitkan golongan berpendidikan rendah, namun turut meliputi kumpulan berpendidikan tinggi.
“Rata-rata mangsa masih tertanya-tanya atau berada dalam keadaan takut apabila terima panggilan sebegini, walhal kita dah tegaskan cara jabatan kerajaan atau PDRM yang tak akan buat panggilan untuk memaklumkan sesuatu bayaran atau saman.
“Penjenayah pula cari ruang bila dapat kenal pasti suara tu macam ketakutan dan sebagainya, jadi dia ambil kesempatan bertindak seterusnya mendorong mangsa untuk membayar bil.
"Justeru, kami warga PDRM mengharapkan agar badan persatuan dan NGO dapat ambil peluang untuk sama-sama bendung jenayah ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!