Polis bantuan maut digilis selepas langgar musang
TAMPIN - Seorang anggota polis bantuan maut digilis beberapa kenderaan selepas terjatuh dari motosikal akibat terlanggar seekor musang di Kilometer 10 Jalan Gemas-Pasir Besar di sini kira-kira jam 11.20 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, berdasarkan siasatan awal, Muhammad Basirol Iman Zunata, 27, dari Taman Sungai Gemas yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan ke tempat kerja di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bahau.
"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi, mangsa dipercayai terlanggar seekor musang yang melintas secara tiba-tiba lalu terbabas menyebabkan dia terjatuh di atas jalan raya.
"Mangsa dipercayai telah digilis oleh beberapa kenderaan hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian kepala dan badan. Dia disahkan maut di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anuwal berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!