Suspek bunuh, simen abang direman tujuh hari

Suspek dibawa ke Mahkamah Alor Setar hari ini untuk direman bagi membantu siasatan kes bunuh abangnya.
Suspek dibawa ke Mahkamah Alor Setar hari ini untuk direman bagi membantu siasatan kes bunuh abangnya.
A
A
A

ALOR SETAR - Suspek kes bunuh seorang lelaki yang dimasukkan ke dalam tong air biru dan disimen di tepi sebuah rumah di Kampung Padang Hassan, Kepala Batas, direman tujuh hari untuk membantu siasatan.

Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Rashidah Azmi membenarkan tempoh reman bermula hari ini hingga 15 Mac depan terhadap suspek berusia 25 tahun itu.

Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk membantu siasatan susulan penemuan tong air biru yang disimen, dipercayai mengandungi mayat abangnya di tepi rumah didiami keluarga itu.

Kejadian dipercayai berlaku Jumaat lalu apabila berlaku pertengkaran antara dua beradik itu menyebabkan mangsa mengambil sebilah pisau pemotong daging manakala suspek menggunakan penyapu untuk mempertahankan dirinya.

Bagaimanapun, mangsa dipercayai rebah dan meninggal dunia akibat terkena libasan senjata tajam di lehernya.

Suspek kemudiannya dipercayai memasukkan mayat abangnya ke dalam tong air dan disimen sebelum mayat itu ditemui pada jam 7 pagi semalam.

Sementara, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, setakat ini punca kematian mangsa dipercayai akibat kesan hirisan pada lehernya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, mayat Mohd Hasnul Nizar Khairul Anuar, 34, ditemui dalam tong berkenaan, selepas adik mangsa tidak sedap hati dan menceritakan apa yang berlaku kepada seorang lagi abang mereka.

Berikutan itu, abang mangsa menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu.

Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk pisau dan kereta sorong yang digunakan untuk pembunuhan itu.

Berdasarkan siasatan awal, punca kejadian disebabkan baju yang diberi teman wanita suspek sering dipakai mangsa menyebabkan suspek berang.

Mangsa tidak bekerja, manakala adiknya iaitu suspek bekerja sebagai penjual ayam goreng.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang dibunuh, disimen dalam tong air

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!