Tok Pa dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa hari ini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Kehadiran beliau dalam Kabinet baharu yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka memberi anjakan yang diperlukan terutamanya dalam menarik pelabur asing ke Malaysia.
Mustapa bukanlah seorang yang asing dalam pentadbiran negara kerana sepanjang 25 tahun berkecimpung dalam bidang politik beliau pernah memegang pelbagai portfolio di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
Beliau dikenali sebagai seorang yang tegas dan terkenal di persada antarabangsa terutamanya dalam kalangan pelabur asing semasa memegang portfolio sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang menyaksikan di bawah kepimpinannya pelaburan asing di negara ini mencapai tahap sangat memberangsangkan.
Dilahirkan di Bachok, Kelantan pada 25 September 1950, Mustapa memulakan kerjaya politiknya selepas memenangi kerusi Parlimen Jeli dalam Pilihan Raya Kesembilan pada 1995.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan pada Mei 1995 sebelum menjadi Menteri Kewangan Kedua pada September 1998.
Mustapa juga pernah menyandang portfolio Menteri Pengajian Tinggi serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia dan seterusnya menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari 2009-2018.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Bachok pada 1957 dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mohammad Jiwa pada 1963 dan seterusnya menamatkan pengajian di Maktab Sultan Ismail, Kota Bharu pada 1969.
Beliau kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang Ekonomi di University of Melbourne, Australia pada 1973 dan seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Pembangunan Ekonomi pada 1982 dari Boston University, Amerika Syarikat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!