Zuraida sekali lagi terajui KPKT
KUALA LUMPUR - Selepas dua minggu meninggalkan Kabinet, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin hari ini sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Lantikan Zuraida itu adalah susulan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan pada 29 Februari lalu.
Zuraida, 61, yang juga Ahli Parlimen Ampang selama tiga penggal sejak 2008 menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi ketika menyandang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selama 21 bulan.
Antaranya memperjuangkan pemberian insentif elaun kritikal anggota bomba dan melaksanakan Dasar Perumahan Negara 2.0.
Bekas Naib Presiden PKR yang kini bergerak sebagai ahli Parlimen bebas itu mula menyertai PKR sebagai Bendahari pada 1999 sebelum meninggalkan parti tersebut pada 24 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Zuraida mempertahankan kerusi Parlimen Ampang setelah mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Leong Kim Soon dan dua calon lain dengan majoriti besar sebanyak 41,956 undi.
Zuraida memperoleh 54,307 undi berbanding Kim Soon yang mendapat 12,351 undi, calon Pas, Nurul Islam Mohamed Yusoff (9,598) dan calon PRM (294).
Zuraida yang cukup dikenali dengan sifat berani dan lantang bersuara antara terawal dilantik sebagai anggota Kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri ketujuh,Tun Dr Mahathir Mohamad dengan memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Mei 2018.
Berikut merupakan biografi Zuraida:
Nama: Zuraida Kamaruddin
Tarikh lahir: 14/03/1958 (61 tahun)
Jawatan kerajaan
2018 - 2020: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Parlimen:
2008-Kini: Ahli Parlimen Ampang
Politik:
2017: Ketua Wanita Pakatan Harapan
1999: Menyertai PKR sebagai Bendahari
2007-2010: Naib Presiden PKR
2007-2018: Ketua Wanita PKR
2018-2020: Naib Presiden PKR
2020: Keluar PKR
Karier:
1980-1987: Pengurus Penyelidikan Kualitatif, Frank Small & Associates (Australia)
1987-1988: Pengurus Penyelidikan Pemasaran & Perancangan Akaun, Chuo Senko Advertising (Jepun)
1989-1991: Naib Presiden untuk Bahagian Pasaran Bumiputera, American International Assurance (AIA)
1992-1993: Pengarah Bersekutu Pengiklanan, Syarikat Pengiklanan Saatchi & Saatchi
1993-1997: Pengurus Jualan Avon (M) Bhd
1997-1998: Pengarah Urusan Flaireborne (M) Sdn Bhd
1999-2001: Perunding bebas/pakar Motivasi (Petronas, Oriflame, Nutrimetics, Shinetsu dan Texas) - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!