Kabinet berwibawa dan berintegriti, kata MB Terengganu
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan tiga ahli Parlimen negeri itu dalam senarai Kabinet.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelantikan tersebut dapat memantapkan hubungan federalisme antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri Terengganu merakamkan jutaan tahniah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pengumuman Jemaah Menteri Kabinet hari ini.
“Pengumuman ini amat dinantikan oleh rakyat Malaysia dan Terengganu khususnya setelah menyaksikan kemelut politik yang begitu meresahkan kita semua.
“Sudah tentu rakyat mahukan perubahan yang lebih baik dengan pelantikan menteri Kabinet yang bukan sahaja terdiri daripada tokoh politik berpengalaman tetapi tidak mengabaikan golongan teknokrat dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Presiden Pas itu turut menyifatkan sebagai barisan Kabinet terbaik kerana pelantikan dibuat mengambil kira masyarakat majmuk bumiputera dan bukan bumiputera termasuk wakil Sabah dan Sarawak turut terpilih.
Ahmad Samsuri berkata, beliau percaya kesefahaman antara parti-parti dalam Perikatan Nasional mampu membawa Malaysia lebih berdaya saing mendepani cabaran ekonomi global terutama dunia kini berhadapan dengan wabak koronavirus (Covid-19) yang kian meruncing.
“Doa kami mengiringi saf kepimpinan Jemaah Menteri yang dilantik untuk memberikan perkhidmatan yang berwibawa, berintegriti dan peduli rakyat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!