Pendekatan bijaksana Muhyiddin

No Image Caption
A
A
A

SELEPAS lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan pada 1 Mac 2020 lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasminya semalam mengumumkan barisan Kabinet Perikatan Nasional.

Pengumuman yang dibuat di Pejabat Perdana Menteri di Putra Perdana, Putrajaya itu sekali gus menjawab segala teka-teki siapa yang akan menerajui Kabinet baharu selepas tumbangnya Pakatan Harapan beberapa minggu lalu.

Muhyiddin pada sidang medianya menegaskan bahawa barisan Menteri dan Timbalan Menterinya adalah terdiri daripada tokoh politik berpengalaman, teknokrat dan mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu.

Paling mencuri tumpuan ketika pengumuman itu dibuat adalah ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang merupakan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia jawatan paling kanan itu tidak diisi oleh mana-mana pemimpin tertinggi parti.

Perdana Menteri menegaskan bahawa tiada keperluan untuk jawatan tersebut buat masa ini dan empat menteri kanan akan membantunya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.

Jika dilihat kepada fakta yang tertulis, tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan keperluan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam penubuhan sesebuah kerajaan di negara ini, keputusan pelantikan jawatan itu adalah atas budi bicara Perdana Menteri di bawah nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, sebelum ini, salah seorang daripada dua nama besar dalam konfigurasi politik baharu Perikatan Nasional iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikatakan bakal memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri.

Ironinya, ketiadaan dua nama itu sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya mengapa pemimpin tertinggi parti yang membentuk Perikatan Nasional tidak diberi sebarang jawatan dalam Kabinet itu, jauh sekali portfolio Timbalan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid sebelum ini tetap konsisten dengan pendiriannya bahawa beliau tidak akan menuntut sebarang jawatan dalam Kabinet selari dengan prinsip Muhyiddin yang mahu membentuk barisan Kabinet yang berintegriti.

Strategi bijak

Cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar berpandangan bahawa tindakan yang diambil oleh Muhyiddin adalah untuk mengelakkan berlakunya perasaan kurang puas hati dan dengki antara parti gabungan Perikatan Nasional.

Chandra menegaskan ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Muhyiddin merupakan satu langkah bijak walaupun ia memberi satu kejutan dalam budaya politik Malaysia.

“Buat kali pertama dalam sejarah, kita tiada Timbalan Perdana Menteri. Satu yang luar biasa tetapi kalau kita lihat isu ini dari sudut yang lain, mungkin ada sebab kenapa Muhyiddin tidak melantik Timbalan Perdana Menteri.

“Ini kerana melalui keputusan ini, beliau dapat mengelakkan perebutan antara parti-parti sekiranya mengangkat salah seorang daripada anggota Parlimennya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan mungkin yang lain akan kurang senang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau menambah, ditambah dengan faktor Perikatan Nasional yang masih baru dibentuk, Muhyiddin perlu berhati-hati dalam mengambil sebarang keputusan.

“Oleh kerana Perikatan Nasional adalah parti yang baharu bergabung dan mereka tidak begitu kenal antara satu sama lain, mungkin ada isu-isu tertentu yang perlu diselesaikan dahulu dalam hubungan antara parti-parti ini.

“Saya nampak ia satu pendekatan yang matang dan bijak untuk mengelakkan daripada menamakan salah seorang daripada menteri itu mewakili parti tertentu sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk elakkan perasaan kurang puas hati dan dengki,” katanya.

Beliau juga melihat bahawa Kabinet baharu itu mempunyai ciri-ciri yang padu merangkumi pelbagai aspek yang diperkuatkan dengan barisan menteri berpengalaman dan teknokrat yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

“Dari segi tiga aspek, saya anggap Kabinet ini Kabinet yang sempurna iaitu ada menteri yang berpengalaman, ada lantikan profesional dari luar seperti Menteri Kewangan dan organisasi pentadbiran yang teratur.

“Sebab itu, kalau kita benar memahami keadaan ini dan melaksanakannya dengan baik, kita tidak akan ada masalah.

“Malah saya berani mengatakan masalah akan timbul kerana adanya seorang Timbalan Perdana Menteri dalam keadaan parti-parti itu belum begitu selesa antara satu sama lain,” katanya.

Persepsi

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian menegaskan Kabinet yang dibentuk selepas lapan hari lantikan Perdana Menteri menunjukkan kombinasi yang menarik iaitu menteri terdiri daripada pelbagai latar belakang parti, teknokrat dan tokoh agama.

Cuma, katanya, yang akan dipersoalkan adalah persepsi memperlihatkan pemimpin Melayu dan Islam mendominasi Kabinet baharu itu.

“Mungkin akan ada yang menyoal dari sudut etnik dan agama dan bagaimana ia perlu diatasi oleh pihak kerajaan sendiri untuk memastikan persepsi itu tidak mempengaruhi usaha untuk memperbaiki defisit kepercayaan sebelum ini.

“Jadi sudah pasti akan ada yang membandingkannya dan mungkin yang mahu ditekankan adalah dari sudut sistem penyampaian.

“Muhyiddin sendiri menyatakan bahawa Kabinet ini akan memberikan tumpuan kepada penyampaian,” katanya.

Menyentuh ketiadaan pemimpin Pas dalam jawatan empat menteri kanan, Sivamurugan berpandangan bahawa mungkin Muhyiddin sudah mendapatkan persetujuan daripada pimpinan parti itu, Abdul Hadi.

“Saya rasakan ia sudah dipersetujui oleh Pas untuk membolehkan menteri kanan itu dipegang oleh individu yang ada ketokohannya.

“Saya rasa Muhyiddin sudah berbincang dengan Pas akan kedudukan jawatan tersebut walaupun mungkin ada yang menyoal tetapi empat menteri kanan itu tidak sama dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau menambah, dengan tiga jawatan Menteri dan lima Timbalan Menteri, ia adalah satu pencapaian moral yang besar buat Pas yang sebelum ini tidak menjangkakan parti Islam itu akan berada dalam kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!