LPP tubuh yayasan demi kebajikan peladang

LPP
LPP
A
A
A

KUANTAN - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah yayasan yang ditadbir urus lembaga itu bagi membantu peladang yang bernaung di bawahnya.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman, berkata penubuhan itu sudah dicadangkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah sebelum ini sebagai platform membantu ahli yang menghadapi kesempitan hidup.

Menurutnya, ini juga dapat memastikan LPP selepas ini akan menjadikan kebajikan sebagai tonggak utama untuk membantu para peladang dan kakitangan yang kurang berkemampuan.

"Kita wujudkan yayasan ini supaya ada satu tabung dana besar. Dijadikan ruang untuk kepada penderma yang ingin menyumbang dan tahu tempat yang betul untuk menyumbang.

“Cadangan ini mendapat maklum balas positif daripada ahli mesyuarat dan kita akan cuba mendapat kata putus dalam mesyuarat yang akan diadakan lagi pada 22 Januari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program ‘Back To School’ Anak-anak Ahli Pertubuhan Peladang Negeri Pahang 2019 di Kolej Poly-Tech Mara di sini, semalam.

Hadir sama, wakil Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang negeri (PASFA), Datuk Md Rusli Ismail; Pengarah LPP negeri, Datuk Sawalludin Ahmad, dan Pengurus Wilayah Agro Bank, Safaruddin Samsudin.

Mazlan berkata, pihaknya yakin yayasan LPP mampu diwujudkan memandangkan ramai ahli sudah menyuarakan kebimbangan mengenai harga komoditi seperti kelapa sawit dan getah yang tidak menentu sekali gus menjejaskan pendapatan bulanan mereka.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, yayasan tersebut dijamin akan berfungsi seperti institusi kewangan yang kukuh seperti yayasan lain dan bukan sahaja berperanan sebagai institusi menjaga kebajikan peladang dan pekebun kecil.

“Kita akan bincang konsep dan kandungan yayasan ini supaya ia dapat mampu memainkan peranan untuk membantu ahli dan kakitangan kita.

“Tetapi ia bukan tertumpu kepada kebajikan semata-mata, kita akan cari apa lagi nilai tambah untuk memantapkan yayasan ini kelak,” katanya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas penggantungan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang bakal berakhir Selasa ini, Mazlan berkata, pertubuhan itu sudah bersedia untuk bangkit dan bergerak ke hadapan.

“Apabila berakhirnya tempoh penggantungan ini, kita akan mengadakan lantikan jawatan tertentu secepat mungkin bagi memastikan kita dapat bergerak semula.

“Kita ada lima calon simpanan untuk dinaikkan sebagai ahli lembaga pengarah dan bakinya seramai enam orang lagi pula akan dipilih dengan lantikan oleh menteri dan pengerusi juga akan dipilih dalam kalangan 11 ahli ini,” katanya.

Sementara itu, seramai 88 anak ahli peladang daripada 22 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negeri ini menerima bantuan berupa beg sekolah dan wang saku keseluruhannya bernilai RM13,200 pada program berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!