Polis Marin tahan Pati di perairan Pelabuhan Lahad Datu
LAHAD DATU - Pasukan Polis Marin (PPM) menahan empat lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam Operasi Landai di kawasan perairan Pelabuhan Lahad Datu di sini, pagi tadi.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kesemua mereka ditahan berpandukan maklumat dari Unit Risikan Marin (URM) yang mengesan dua bot pam yang mencurigakan di kawasan operasi antara pukul 4.30 hingga 4.45 pagi.
"Menyedari kehadiran polis, bot pertama cuba lolos dengan menghala ke arah laut Sabah Baru tetapi berjaya di pintas pasukan peronda dan pemeriksaan mendapati terdapat tiga lelaki berumur antara 18 hingga 26 tahun di bot itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Manakala pemeriksaan keatas sebuah lagi bot pam yang dikendalikan lelaki berumur 32 tahun, turut didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohamad Pajeri berkata kesemua PATI itu dipercayai telah lama berada di negeri ini.
PATI yang ditahan dengan bot rampasan bernilai RM4,700 dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/63," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!