Penternak rugi RM15,000 akibat hakisan tanah
ALOR SETAR - Seorang penternak di Kampung Tepi Laut, Kuala Kedah di sini menanggung kerugian kira-kira RM15,000 setahun akibat hakisan tanah yang berlaku berhampiran kandang lembu dan kolam ikannya.
Abdul Hamid Muhamadan, 39, berkata, masalah berkenaan berlarutan sejak bertahun-tahun lalu, namun makin ketara kira-kira dua tahun kebelakangan ini.
Katanya, hakisan berkenaan berpunca daripada tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang terdapat di kawasan terbabit.
"Masalah ini makin meruncing ketika musim padi apabila pesawah melepaskan air dari sawah. Kelajuan air menyebabkan tebing semakin terhakis sehingga lantai di kawasan kandang juga mulai mendap dan pecah," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, masalah yang sama juga turut berlaku di kawasan kolam ikannya yang terletak bersebelahan kandang.
"Apabila kolam bocor, ikan-ikan semua terlepas dan masuk ke tali air, maka sia-sia sahaja usaha saya selama ini, hasilnya tak dapat pun," katanya.
Abdul Hamid berkata, mereka sekeluarga pernah membuat laporan kepada pihak MADA sebelum ini supaya tindakan segera dapat diambil.
"Kakitangan MADA ada datang ke sini untuk memacak kayu bakau bagi mengurangkan hakisan, tetapi saya tidak bersetuju.
"ini kerana kayu bakau tidak membantu menghalang hakisan bagi tempoh yang panjang. tambahan pula mereka bercadang untuk memacak kayu itu di depan kandang ini sahaja, sedangkan kawasan yang terjejas hampir 100 meter," katanya.
Tambahnya, mereka berharap pihak MADA dapat memberi penyelesaian lebih sistematik supaya perniagaan mereka sekeluarga tidak terjejas.
"Lagipun jika kita rujuk geran tanah, kawasan tali air ini masih lagi hak kami. Kalau MADA tidak dapat beri penyelesaian terbaik, saya cadang mereka buat pengambilan tanah saja untuk kawasan terlibat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!