Murid maut, bapa parah nahas dua kereta
SITIAWAN - Seorang murid lelaki berusia 12 tahun maut manakala bapanya parah dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Batu 8, Lekir di sini hari ini.
Nahas kira-kira jam 7.30 pagi itu, murid Sekolah Kebangsaan Lekir, Mohd Hafizudin Norsalnizam disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Dalam kejadian itu, adik perempuan mangsa berusia sembilan tahun mengalami luka di bibir dan tangan manakala bapa mereka yang berusia 44 tahun cedera di kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Wira dan Proton Waja melibatkan empat mangsa termasuk dua kanak-kanak.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Wira dinaiki tiga sekeluarga dalam perjalanan dari Kayan menghala ke Sitiawan manakala, Proton Waja yang dipandu lelaki berusia 65 tahun pula dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Wira tersebut dipercayai telah hilang kawalan lalu memasuki dengan Proton Waja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, akibat jarak terlalu dekat, Proton Waja terbabit tidak sempat mengelak dan melanggar sisi kanan kereta tersebut.
“Impak kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan ‘Cardiac Tamponade With Splenic Rupture Consistent With Road Traffic Crash’,” katanya.
Nor Omar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!