'Syukur diberi kepercayaan kembali dalam Kabinet'

Dr Ismail Abd Muttalib
Dr Ismail Abd Muttalib
A
A
A

MARAN - Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin atas pelantikan beliau sebagai timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau yang mengakui terkejut dengan pelantikan berkenaan menyifatkan kepercayaan Muhyiddin dan pucuk pimpinan membuatkannya bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Saya akui sedikit terkejut dengan pelantikan sebagai timbalan menteri KPKT namun menghargai kepercayaan untuk berikan oleh Perdana Menteri dan restu daripada pucuk pimpinan parti.

“Insya-ALLAH saya berjanji untuk melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan sedaya mungkin berdasarkan pengalaman sebagai timbalan menteri sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin umum senarai Kabinet, lantik empat menteri kanan

Dr Ismail pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia ketika era pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Jelas Dr Ismail lagi, beliau akan berusaha memberikan khidmat terbaik dalam membantu Menteri KPKT iaitu Zuraida Kamaruddin yang kekal menerajui kementerian itu dalam barisan Kabinet baharu ini.

“Saya akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk membantu dan menyokong segala usaha YB Menteri dalam memastikan KPKT terus dapat melaksanakan agenda membangunkan rakyat pada tahap terbaik,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa bersyukur dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas perkenan pelantikan yang disembahkan oleh Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!