Permohonan gantung perintah kembalikan wang UMNO, MCA didengar 31 Mac
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Mac ini untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan bagi menggantung pelaksanaan perintah mahkamah yang menolak permohonannya untuk melucut hak wang RM194 juta yang disita daripada UMNO, Wanita MCA dan dua syarikat, Binsabi Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd.
Wang yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas itu didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan penggantungan itu pada 14 Februari lepas sementara rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.
“Kami akan menghantar hujahan bertulis pada 17 Mac ini dan pihak pembelaan perlu menyerahkan hujahan balasan pada 24 Mac, jika ada. Permohonan ini akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas.
Peguam Nurfazreen Hazrina Rahim yang mewakili UMNO turut mengesahkan perkara itu.
Pada 7 Februari lepas, Hakim Mohamed Zaini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang disita daripada UMNO, Wanita MCA dan dua syarikat iaitu Perano Sdn Bhd, dan Binsabi Sdn Bhd.
Permohonan pelucutan hak wang terhadap UMNO melibatkan RM192,965,413.61 dan RM300,000 terhadap Wanita MCA manakala Perano Sdn Bhd, yang menjual hijab dan Binsabi Sdn Bhd, yang membekalkan khemah, masing-masing membabitkan RM337,634.78 dan RM827,250, yang mereka didakwa terima daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!