Mahdzir tulis surat kepada Najib
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi semalam diberitahu saksi pendakwaan ke-10, Kamarudin Abdullah bahawa surat bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dihantar kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai 2017 ditulis sendiri oleh Ahli Parlimen Padang Terap itu dan tidak melalui bahagiannya di Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela, Azrul Zulkifli Stork, bekas Pegawai Kanan di KPM itu berkata, melalui surat Mahdzir yang dihantar kepada Najib, Mahdzir mengajukan memohon kelulusan Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu untuk mengecualikan dokumen tertentu supaya Kementerian Pendidikan boleh membayar tuntutan interim kepada syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd untuk kerja genset diesel yang dilaksanakan syarikat itu sejak Januari 2017.
Semasa sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwaraya, Poh Yih Tinn, Kamarudin menjelaskan, Mahdzir tidak pernah memanggilnya untuk berbincang tentang surat tersebut atau cuba mendapatkan maklumat yang berkaitan.
Sebaliknya kata Kamarudin, dia menerima hanya satu salinan surat berkenaan.
Ditanya bagaimana Mahdzir mendapat maklumat yang diperlukan, Kamarudin menjawab: "Saya tidak berapa pasti berkemungkinan melalui pegawai khas."
Sebelum itu, Kamarudin berkata, Mahdzir juga mengarahkannya untuk memadamkan satu klausa dalam surat penganugerahan kepada syarikat Jepak Holdings.
Klausa itu, kata saksi terbabit, membolehkan kerajaan menamatkan kerja-kerja projek tersebut dan membuat potongan daripada sebarang tugasan yang tidak disiapkan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan disambung petang ini.
Datin Seri Rosmah Mansor, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!