Peruntukan Kolej New Era, ini penjelasan kementerian
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan peruntukan khas yang diberikan kepada Kolej Universiti New Era bukan daripada peruntukan kewangan KPM sebaliknya dari Kementerian Kewangan sendiri.
Menurut kementerian itu lagi, kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching ke majlis tersebut adalah hanya bagi memenuhi jemputan Kementerian Kewangan.
“Selaku institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan, peruntukan yang diberikan adalah peruntukan khas Kementerian Kewangan yang diberi secara terus oleh kementerian kepada kolej itu.
“Ia tidak melalui Kementerian Pendidikan. Kerajaan BN juga pernah memberi peruntukan kepada Kolej Universiti Abdul Rahman yang bukan Universiti Awam, antara RM30 juta hingga RM69.25 juta dalam Bajet 2012 hingga 2018.
“KPM berharap agar budaya memainkan sentimen perkauman dan memanipulasi fakta hendaklah dielakkan bagi memelihara perpaduan negara,” memetik kenyataan dari KPM.
Semalam, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempersoalkan tindakan kerajaan menyerahkan bantuan kepada kolej swasta.
Katanya, ketika pembentangan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hanya menyebut mengenai dana kepada sekolah persendirian Cina.
"Semasa pembentangan belanjawan, memang ada sebut bantuan untuk sekolah menengah persendirian Cina yang memang saya bantah. Tidak ada sebab kerajaan bagi duit kepada sekolah swasta.
"Tapi tak disebut bantuan untuk Kolej Universiti New Era. Atas sebab apa kolej swasta juga dapat bantuan kewangan?" soalnya menerusi hantaran yang dimuatnaik di laman Facebook beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!