Pura-pura solat selepas disergah mencuri

Rakaman CCTV menunjukkan Azhar (kiri) menyergah lelaki terbabit yang kemudian berpura-pura solat.
Rakaman CCTV menunjukkan Azhar (kiri) menyergah lelaki terbabit yang kemudian berpura-pura solat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tindakan pantas ahli jawatankuasa surau mengesan tindakan mencurigakan seorang lelaki melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya menghalang cubaan mencuri di Surau Abu Bakar As-Siddiq, Taman Petani Jaya semalam.

Azhar Adnan, 48, berkata, semasa membuat pemeriksaan CCTV di surau terbabit, dia ternampak kelibat seorang lelaki berseluar pendek sedang memegang beg milik seorang penghantar makanan yang sedang menunaikan solat.

Menurutnya, dia segera keluar dari pejabat surau dan masuk ke ruang solat sebelum menyergah lelaki terbabit.

"Selepas saya sergah, dia berpura-pura solat sedangkan ketika itu dia berseluar pendek dan kelihatan merokok sewaktu masuk ke dalam surau," katanya.

Sementara itu, penghantar makanan, Mohamad Yuhanizal Yahaya, 29, berkata, selepas solat dia melihat Azhar bercakap dengan lelaki terbabit tanpa mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

"Selepas diberitahu dia cuba ambil beg saya, barulah saya sedar.

"Tetapi belum sempat kami bertindak, dia dah lari ikut pintu belakang," katanya.

Difahamkan beg berkenaan mengandungi wang tunai berjumlah RM200 iaitu wang yang dibayar pelanggan, barangan peribadi serta dokumen pengenalan milik Mohamad Yuhanizal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia bersyukur dengan bantuan ahli jawatankuasa surau, beg serta wang tidak sempat dicuri.

Menurutnya, ketika kejadian, dia baru selesai menghantar makanan ke rumah salah seorang pelanggan yang terletak berdekatan.

Difahamkan, rakaman CCTV akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Rakaman video tersebut turut tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!