Tiga sekeluarga termasuk bayi 25 hari maut
Mereka yang maut adalah pemandu Proton Wira, Zamzainal Ahmad Kusharay, 49; ibu mentuanya, Salmah Abdul Manap, 65, dan anaknya, Mior Muhammad Qalish Zamzainal yang berusia 25 hari.
Isteri mangsa, Nor Iashah Abd Rani, 32, dan anaknya, Mior Mohamad Harraz Zamzainal, 3, dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang di sini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, kemalangan itu berpunca apabila kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu terbabas sendiri di lokasi kejadian.
“Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Lumut menuju ke Ipoh.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang berada di laluan kanan dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar pengadang besi jalan sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mayat dan mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!