Malaysian Tigers uji Kanada April depan

Oltmans (berdiri) ketika mengendalikan sesi latihan Malaysian Tigers di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Oltmans (berdiri) ketika mengendalikan sesi latihan Malaysian Tigers di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIAN Tigers dijangka akan mengadakan siri perlawanan pada April depan selepas penangguhan kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2020.

Skuad negara itu berkemungkinan akan beraksi dalam lima perlawanan berhadapan pasukan nombor 10 dunia iaitu Kanada dari 11 hingga 18 April iaitu tarikh asal Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-29 itu yang ditangguhkan kepada 24 September hingga 3 Oktober berikutan penularan Covid-19.

Ketua Jurulatih Malaysian Tigers, Roelant Oltmans berkata, rancangan mereka adalah untuk bermain perlawanan persahabatan pada 11 April dan diikuti dengan perlawanan ujian pada 13, 15, 16, dan 18 April, namun belum disahkan berikutan pengesahan berkaitan Covid-19.

"Dunia lebih risaukan mengenai Covid-19 berbanding hoki sekarang ini. Kita bertuah kerana di sini agak selamat, namun perlu menunggu untuk pengesahan akhir, namun tentunya kita akan cuba untuk mendapatkan pertandingan pada April.

“Kita tidak akan dapat mata ranking untuk perlawanan persahabatan, tetapi kita dapat mata untuk perlawanan ujian,” kata jurulatih dari Belanda kepada pemberita ketika sesi latihan di Stadium Hoki Bukit Jalil hari ini.

Pada asalnya, skuad Harimau Malaysia sepatutnya memulakan kempen mereka dengan kejohanan antarabangsa menentang Pakistan pada 11 April, diikuti Jepun (12 April), Australia (14 April), Korea Selatan (15 April dan Kanada (17 April) di Ipoh.

Malaysia yang berkedudukan ke-11 dunia kemudiannya akan menerima kunjungan satu lagi pasukan Olimpik, New Zealand dalam satu siri perlawanan pada Jun di Kuala Lumpur dan Kuantan sebagai persediaan pasukan negara itu untuk Tokyo 2020.

Pada Julai pula, Oltmans dan anak buahnya akan terbang ke Eropah untuk kejohanan pertemuan empat negara di Sepanyol yang akan turut disertai Jerman dan Ireland.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Oltmans masih lagi menghadapi masalah kecederaan pemain tengah, Mohamad Faid Faradh Mohamad Shah dan penyerang Muhammad Shahril Saabah.

“Mereka berdua kini masih dalam proses pemulihan. Faid dijangka akan kembali berlatih dalam tempoh dua minggu manakala Shaaril mungkin minggu depan, tetapi hanya selepas mendapat pelepasan daripada doktor kerana kesihatan pemain untuk jangka panjang adalah lebih penting.

“Kami ada 26 pemain dan akhirnya kita hanya perlukan yang 18 yang terbaik dengan hanya 11 sahaja akan bermain atas padang,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!