Kabinet harus tumpu soal ekonomi

A
A
A

ALHAMDULILLAH. Rakyat Malaysia kini sudah boleh menarik sedikit nafas lega selepas terbentuknya barisan Jemaah Menteri kerajaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Namun begitu, selesainya Upacara Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Anggota Kabinet di Istana Negara semalam juga bermakna bermulanya cabaran bagi mereka yang diamanahkan untuk mengemudi negara menghadapi pelbagai cabaran yang besar untuk segera mendapatkan kepercayaan rakyat.

Baru beberapa hari lepas, dunia dikejutkan dengan kejatuhan harga minyak dunia sebanyak 31 peratus kepada sekitar AS$30 setong. Berita serius itu membuatkan kerajaan baharu perlu mencari jalan untuk ‘menyahsimpul’ kekalutan dan kesempitan polisi ekonomi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lepas.

Perancangan Belanjawan 2020 yang dirangka oleh Lim Guan Eng dan kerajaan PH sebagai contoh adalah berasaskan andaian harga minyak dunia pada paras AS$62 setong. Kejatuhan harga itu akan menyulitkan kerajaan untuk meneruskan program-program untuk rakyat dan pelabur yang dirancangkan termasuklah Pakej Rancangan Ekonomi (PRE) 2020 yang bernilai RM20 bilion.

Cabaran itu berpunca daripada kedegilan dan keangkuhan Guan Eng untuk memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) selepas mengambil alih Putrajaya dan menyebabkan Perbendaharaan Negara kehilangan hasil negara sebanyak RM30 bilion setahun.

Walhal, cukai GST membantu kerajaan yang lepas mengurangkan kebergantungan pada hasil petroleum daripada 41 peratus kepada hanya 14 peratus dan mengurangkan risiko turun naik harga minyak dunia.

Polisi populis kerajaan PH-DAP itu juga telah menyebabkan negara terpaksa meminjam dengan ‘buas’ dan meningkatkan jumlah hutang negara sebanyak RM140 bilion dalam tempoh 21 bulan memerintah. Ini bersamaan kenaikan nisbah hutang negara berbanding KDNK daripada 48.7 peratus kepada 53 peratus serta mengurangkan ruang untuk kerajaan meminjam pada masa hadapan.

Sasaran defisit fiskal 0.4 peratus pada tahun 2020 yang ditetapkan oleh era BN telah meningkat kepada 3.4 peratus dan ini bakal menyulitkan kerajaan pimpinan Muhyiddin untuk mengembalikan keyakinan kepada disiplin pengurusan kewangan negara.

Artikel Berkaitan:

Tidak cukup dengan tahap hutang kerajaan yang tidak sihat, kerajaan baharu harus berhati-hati menguruskan Petronas dan tidak mengulangi kesilapan Guan Eng yang ‘menjarah’ tunai Petronas sehingga RM104 bilion bagi membiayai polisi beliau yang menguntungkan tauke-tauke besar. Kita tidak boleh ambil mudah kerana penarafan syarikat minyak milik negara itu diturunkan oleh Moody’s pada bulan Jun tahun lepas.

Aset

Kerajaan baharu itu juga harus memulihkan institusi-institusi pelaburan rakyat seperti Khazanah Nasional, Tabung Haji dan LTAT yang ‘dirompak’ secara berleluasa melalui penjualan lambak aset-aset negara yang dibina oleh kerajaan Barisan Nasional yang lepas. Aset-aset negara ini sebenarnya dirancang untuk memberikan pulangan yang stabil dan berterusan kepada Perbendaharaan Negara dan kini telah terlepas ke tangan orang lain.

Kesemua situasi di atas adalah cabaran besar bagi barisan Jemaah Menteri yang baharu untuk memulihkan ekonomi negara dan mengembalikan keyakinan rakyat serta para pelabur.

Ditambah dengan penularan virus Covid-19 yang melanda dunia dan sehingga kini tidak ada kepastian bilakah ia akan reda. Kegelisahan rakyat di bawah tidak perlu dipersoal lagi dan perlu tindakan tuntas.

Kerajaan baharu ini mungkin boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan intervensi fiskal yang bersesuaian seperti semakan semula Had Siling Hutang Kerajaan daripada 55 peratus kepada 60 peratus sebagai permulaan agar kerajaan dapat membiayai program-program terus kepada rakyat.

Pada masa sama, kerajaan diharap boleh membuat penilaian semula PRE dengan melebihkan Bantuan Sara Hidup (BSH) agar rakyat berbelanja dan merancakkan permintaan dalam negeri.

Walau apapun perancangan dan pelaksanaan yang akan dibawa oleh Muhyiddin dan barisan Kabinet beliau pada masa hadapan, kepentingan rakyat harus diberi keutamaan dan adalah penting untuk kita semua memberikan mereka ruang dan peluang untuk berkhidmat dan membuktikan kemampuan mereka.

Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua anggota Jemaah Menteri yang dilantik.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!