81 rumah, kuarters guru terbakar di Pulau Banggi
KOTA KINABALU - Sebanyak 81 rumah dan dua kuarters guru sekolah musnah terbakar di Kampung Karakit, Pulau Banggi dekat Kudat, hari ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu diterima pada jam 3.26 petang.
Lima belas anggota bomba diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat Ishak Jabas bergegas ke lokasi kebakaran yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Pekan Kudat dengan menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Apabila bomba tiba di pulau itu, kebakaran sudah memusnahkan 81 rumah yang terletak di atas air dan darat, dua kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, kata kenyataan itu.
Katanya, kebakaran itu menyebabkan 303 orang kehilangan tempat tinggal dan mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di SK Karakit, Sekolah Agama Negeri Karakit dan Rumah Rehat Pejabat Daerah Pulau Banggi.
Operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya pada jam 6.30 petang dan tiada laporan kecederaan diterima.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!