DAP Perak nafi tuduhan dua bekas wakil rakyat

Gambar kecil: Kah Woh
Gambar kecil: Kah Woh
A
A
A

IPOH - DAP Perak menafikan tuduhan dibuat dua bekas wakil rakyat parti itu berhubung wujudnya usaha untuk menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku menteri besar.

Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, pendedahan itu disifatkan sekadar tindakan melulu untuk membenarkan tindakan mereka keluar parti.

"Tohmahan mereka terhadap DAP adalah tidak berasas sama sekali.

"Ia sekadar reaksi untuk mencari alasan dan bukanlah sesuatu di luar jangkaan memandangkan tindakan mereka yang mengkhianati pilihan dan mandat rakyat telah dikecam oleh pengundi-pengundi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam melalui satu sidang media, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong mengesahkan rancangan untuk menjatuhkan menteri besar dan gulingkan kerajaan sudah lama dibincangkan dalam Jawatankuasa DAP Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua bekas ADUN DAP dedah wujud komplot jatuhkan Ahmad Faizal

Rancangan itu didakwa diatur bagi memberi laluan lantikan Menteri Besar baharu dalam kalangan wakil rakyat Melayu DAP sendiri.

Mengulas lanjut, Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, pendirian DAP adalah jelas menolak kerajaan kleptokrasi, bukannya untuk terus bekerjasama dengan pihak yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

"Walau apa yang diutarakan sebagai alasan atau justifikasi, tindakan kedua-dua mereka adalah sebahagian daripada pembentukan kerajaan campuran Perikatan Nasional yang menumbangkan Pakatan Harapan (PH) di Perak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai tekanan berhubung hak milik kekal tanah, beliau berkata, pemberian kepada peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Kampung Baru merupakan manifesto yang dipersetujui bersama dan diumumkan sendiri Menteri Besar ketika itu.

"Menteri Besar sendiri telah beberapa kali mengulangi secara terbuka bahawa kerajaan PH akan melaksanakan kesemua janji-janji manifesto.

"Adalah menjadi tanggungjawab semua Exco dan ADUN kerajaan untuk memastikan pelaksanaan janji-janji kepada rakyat, namun dengan kesalnya ini telah dijadikan alasan oleh mereka yang tidak berprinsip keluar parti," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!