Penyu berusia lebih 40 tahun ditemui mati
PORT DICKSON - Seekor penyu spesies agar ditemui mati terdampar di pantai Teluk Kemang, Port Dickson pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Halimi Abu Hanip berkata, penyu jantan dengan berat lebih 100 kilogram yang dianggarkan berusia lebih 40 tahun itu ditemui orang awam.
"Kakitangan jabatan bergegas ke lokasi untuk membuat pemeriksaan dan penyu itu dipercayai sudah beberapa hari mati di tengah laut dan dihanyutkan ombak ke pesisiran pantai.
"Pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan cedera pada penyu berkenaan dan kita tidak pasti punca kematiannya," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, reptilia marin terancam itu wujud dalam populasi yang sedikit di Negeri Sembilan dan penting untuk dipelihara.
Sehubungan itu katanya, orang ramai diingatkan supaya prihatin dengan tidak mengganggu penyu itu terutama jika menemuinya sedang naik ke pantai untuk bertelur termasuk tidak mengambil telurnya.
"Sabit kesalahan atas perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh dikenakan denda maksimum RM 20,000 atau penjara maksimum 2 tahun atau kedua-duanya di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu) 1976 Negeri Sembilan dan Akta Perikanan 1985.
"Kita sangat berharap orang ramai yang menjumpai penyu mati atau cedera untuk hubungi talian 06-6472050 atau 06-6621089 atau menghantar mesej di laman rasmi Facebook Jabatan Perikanan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!