Warga emas tertembak rakan mengaku tidak bersalah

Abdullah (dua dari kanan) tiba di Mahkamah Bachok dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuai hingga menyebabkan kematian seorang pesara tentera ketika berburu di Pasir Puteh pada bulan lalu.
Abdullah (dua dari kanan) tiba di Mahkamah Bachok dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuai hingga menyebabkan kematian seorang pesara tentera ketika berburu di Pasir Puteh pada bulan lalu.
A
A
A

BACHOK - Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bachok di sini hari ini atas dakwaan cuai hingga menyebabkan kematian seorang pesara tentera ketika berburu di bukit Kampung Gong Genor, Pasir Puteh pada bulan lalu.

Tertuduh Abdullah Senan, 69, didakwa di hadapan Majistret Mohd Dinie Syazwan Ab Shukor.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cuai hingga menyebabkan kematian Mohd Sazuki Shafeii, 48, di bukit Kampung Gong Genor, Pasir Puteh antara jam 6.30 petang hingga 7.30 malam pada 29 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-keduanya.

Pada tuduhan kedua pada masa, tarikh dan lokasi yang sama tertuduh didakwa menggunakan selaras senapang patah tanpa jenama tanpa lesen atau permit yang sah.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mohd Shukri (kiri), Raja Deraman dan Abdullah dikawal polis keluar dari Mahkamah Majistret Bachok selepas selesai didakwa atas tuduhan yang dihadapi masing-masing.
Mohd Shukri (kiri), Raja Deraman dan Abdullah dikawal polis keluar dari Mahkamah Majistret Bachok selepas selesai didakwa atas tuduhan yang dihadapi masing-masing.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Adha Amir Yasser Amri mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

“Saya mohon jumlah jaminan yang wajar bagi mencerminkan kepentingan awam kerana kes membabitkan kematian,” katanya.

Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memohon jaminan dikurangkan kerana penanggung tunggal keluarga dan mempunyai anak masih bersekolah.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin.

Dalam perkembangan sama, dua rakan tertuduh juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) didakwa melanggar syarat permit senjata dengan menggunakan Shot Gun 12 Bore berjenama Harington milik Jabatan Rela untuk memburu pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Mohd Shukri Mohd Razali,51, mengaku salah manakala Raja Deraman Raja Ahmad, 51, mengaku tidak salah masing-masing atas dakwaan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Mereka dibenarkan jaminan RM3,000 setiap seorang.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 April depan di Mahkamah Pasir Puteh.

Pada 29 Februari lalu, seorang pesara tentera maut selepas selepas terkena tembakan ketika berburu bersama rakannya dalam kejadian di sebuah bukit di Kampung Gong Genor, Pasir Puteh.

Lelaki berusia 69 tahun itu dipercayai meminjam senjata mangsa dan tertembak Mohd Sazuki Shafeii, 48, yang disangka binatang.

Sebutir peluru senapang patah dari jarak 200 meter tepat mengena dada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!