Ketua Polis Negara kecewa masih ada pegawai terima rasuah
PASIR MAS - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini meluahkan rasa kecewa terhadap 12 pegawai polis yang disyaki menerima rasuah bagi melindungi pemandu lori lebih muatan sehingga ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Abdul Hamid berkata, masih ada pegawainya yang mengamalkan budaya tersebut walaupun pelbagai amaran dan nasihat telah diberikan sebelum ini.
Katanya, beliau masih belum menerima laporan lengkap berhubung penahanan 12 pegawai berkenaan namun mengalu-alukan tindakan agensi antirasuah itu dalam menjalankan tugas mereka.
“Saya tidak boleh kata apa, kecewa memang kecewa dan yang lebih menyedihkan ahli keluarga terpaksa menanggung kesan akibat perbuatan itu.
“Yang mengambil (rasuah) adalah suami, kalau mereka tidak fikir nasib keluarga maka teruskanlah namun bila tertangkap tiada lagi sesalan kerana sudah cukup larangan, amaran dan nasihat diberi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 264 pegawai dan anggota polis yang berkhidmat ketika zaman darurat yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan di Dewan Ketua Polis negara, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, SPRM akan melengkapkan kertas siasatan sebelum menyerahkannya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
"Sekiranya kertas pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang cukup, pegawai dan anggota yang terlibat dengan rasuah ini akan dikenakan tindakan disiplin oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Saya masih tidak berputus asa dan menerusi Jabatan Pengurusan akan terus berusaha memberikan kesedaran kepada pegawai dan anggota bagi mengelak daripada pengambilan rasuah,” katanya.
Semalam, seramai 12 pegawai polis dari Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang ditahan SPRM kerana dipercayai melindungi pemandu lori lebih muatan.
Sebelas daripada mereka ditahan di sekitar Pulau Pinang manakala seorang lagi di Kuala Lumpur dalam satu operasi khas SPRM antara jam 10 pagi hingga 6 petang semalam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!