Tottenham lemau di Red Bull Arena
The Spurs nyata bukan lawan kelab Bundesliga itu yang lolos kelompok lapan terbaik tambahan pula pelawat masih dibelenggu masalah kecederaan pemain menjelang pertemuan menentang Manchester United pada Ahad ini.
Situasi itu menambah lagi tekanan ke atas Mourinho yang mengambil alih tanggungjawab finalis naib juara Liga Juara-Juara dari Mauricio Pochettino.
“Tottenham dengan barisan pemain yang dibelenggu kecederaan dan penggantungan, boleh saya katakan bahawa adalah sukar untuk kelab menyaingi kelab lain dalam baki perlawanan liga.
"Biarpun situasi ini tidak dapat diselesaikan sekelip mata kerana tiada pemain yang akan sembuh menjelang Ahad, namun para pemain akan berjuang habis-habisan. Kami akan menggunakan tempoh masa empat hari untuk memperkemaskan semula pasukan," katanya.
The Spurs bertandang ke bumi Leipzig tanpa Steven Bergwijn, Ben Davies, Harry Kane, Davinson Sánchez, Moussa Sissoko dan Son Heung-min.
Tambah pengendali dari Portugal itu, dia cuba bersikap positif biarpun mengetahui misi ke menterbalikkan keputusan tewas 0-1 di Stadium Tottenham Hotspur sebelum ini sukar.
"Kami hadir ke sini dengan membawa banyak masalah dan sebenarnya secara realistiknya kami berdepan kesukaran.
“Sebarang kelab pun akan berdepan situasi sebegini apabila tampil tanpa lima atau enam pemain utama begitu juga kami.
"Pada satu ketika saya berharap pemain di bangku simpanan Leipzig mengisi kekosongan skuad utama Tottenham.
"Apapun Leipzig sejujurnya layak mara ke pusingan seterusnya kerana mereka memiliki barisan terbaik mereka," kata Mourinho.
Sementara itu, Dele Alli meminta maaf kepada penyokong setia The Spurs susulan kekalahan yang menyaksikan mereka tersingkir.
"Seharusnya kekalahan pada final musim lalu telah mematangkan kami. Tapi karakter itu jelas tidak kelihatan dalam kalangan pemain ketika di Red Bull Arena yang menyebabkan kami dihukum," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!