Aura Anfield taruhan Liverpool
![Milner (tengah) mengharapkan aura Anfield dalam misi Liverpool menjinakkan Atletico Madrid pada aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara awal pagi esok.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2020/03/11/647259.jpg)
TONGGAK berpengalaman, James Milner berharap kombinasi aura penyokong dan semangat juang tinggi Liverpool akan memacu The Reds meraih kemenangan ke atas Atletico Madrid pada aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi esok.
Menurutnya, faktor beraksi di gelanggang keramat The Reds itu akan menjadi pembakar semangat buat mereka untuk memadam defisit tewas 0-1 kepada Atletico pada aksi pertama di Stadium Wanda Metropolitano sebelum ini.
“Saya percaya para pemain Liverpool semakin bersemangat di tambah pula dengan sokongan padu penyokong yang akan berada di belakang kami sepanjang perlawanan.
“Biarpun kami tahu Atletico hadir dengan kelebihan satu gol tetapi kami akan tetap memberikan aksi terbaik seterusnya menjadikan malam itu amat bermakna kepada peminat dan penyokong The Reds.
“Saya percaya aura Anfield akan menyuntik semangat para pemain untuk memberikan tentangan habis-habisan kepada pasukan lawan pada perlawanan itu nanti yang kami jangkakan cukup sengit,” katanya.
Liverpool yang tampil dengan status juara bertahan selepas menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 pada aksi final pada Jun tahun lalu, dikatakan berada dalam keadaan tertekan bagi memburu tiket suku akhir.
Selepas tumbang kepada Atletico pada 19 Februari lalu, prestasi The Reds mula ‘goyang’ apabila tewas dalam dua aksi berturut-turut pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.
Bagaimanapun, anak-anak buah Jurgen Klopp kembali berada di landasan kemenangan selepas menewaskan Bournemouth 2-1 di Anfield Sabtu lalu, sekali gus mencerahkan lagi peluang mereka mendakap trofi kejuaraan EPL musim ini.
“Tiada kelab yang sentiasa kekal dengan momentum kemenangan pada setiap perlawanan, sama juga dengan Liverpool dan ia berlaku sekarang. Namun, kami sudah kembali mendapat rentak sebenar dan ia sesuatu yang cukup positif buat masa ini,” ujar Milner.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!