Pengusaha feri Langkawi cuci feri lebih kerap elak penularan Covid-19
LANGKAWI - Sebuah syarikat feri penumpang ke Langkawi mengambil inisiatif membersihkan semua feri-ferinya secara lebih kerap bagi mengelak sebarang risiko penularan koronavirus (Covid-19) dalam kalangan penumpang.
Pengurus Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, langkah itu juga bagi meningkatkan keyakinan orang ramai untuk terus berkunjung ke Langkawi.
“Kebiasaannya, kami akan melakukan kerja pembersihan feri setiap enam bulan sekali tapi susulan isu Covid-19 ini kami akan membersihkan feri-feri dengan lebih kerap lagi.
“Semua feri yang terlibat adalah sebanyak 35 buah membabitkan semua laluan ke Langkawi termasuk dari Satun dan Koh Lipe, Thailand selain Pulau Payar, Pulau Pinang; Kuala Kedah, Kedah dan Kuala Perlis, Perlis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir dalam sidang media itu Pengarah Jabatan Laut Langkawi, Ghazali Ahmad.
Sebelum ini, jumlah pelancong ke Langkawi dilaporkan merosot susulan Covid-19 sehingga menjejaskan industri perhotelan, agensi pelancongan dan pusat beli-belah di pulau ini.
Kerajaan Kedah sebelum ini telah bersetuju melaksanakan pengecualian cukai perkhidmatan hotel kepada pelancong yang berkunjung ke Langkawi bagi tempoh enam bulan bermula 4 Mac lepas bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di situ. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!