Sarawak sekat serta-merta pelawat dari empat negara
KUCHING - Semua warga asing tanpa mengira kewarganegaraan yang pernah ke China, Korea Selatan, Itali dan Iran dalam tempoh 14 hari lalu, dilarang memasuki Sarawak berkuat kuasa serta-merta, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas.
Mengumumkan sekatan perjalanan terbaru yang dikenakan kerajaan negeri untuk membendung penyebaran koronavirus (Covid-19) beliau berkata, semua rakyat Malaysia yang bukan pemastautin Sarawak yang pernah mengunjungi empat negara berkenaan dalam tempoh 14 hari juga dinasihatkan agar tidak melawat negeri itu.
“Semua penduduk Sarawak dan PR (pemastautin tetap), pemegang pas kerja dan pelajar yang pernah mengunjungi Tanah Besar China, Korea Selatan, Itali dan Iran dalam tempoh 14 hari lepas, mesti menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari. Mereka akan menjalani pemantauan secara rawak oleh pihak berkuasa perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, semua pelawat dari negara atau wilayah yang terjejas Covid-19 harus mematuhi garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Sarawak di semua pintu masuk.
Negara atau wilayah berkenaan adalah Perancis, Sepanyol, Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, Indonesia, Brunei dan Semenanjung Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!