ICERD: Saifuddin perlu letak jawatan
SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menggesa Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bertanggungjawab dan meletakkan jawatan berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).
Katanya, ini kerana komitmen telah dibuat Malaysia sebelum ini menerusi ucapan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Ini bukan satu kesalahan kecil. Komitmen ini dibuat dalam ucapan dalam Perhimpunan Agung PBB bukan di ceramah kampung.
"Memang kami tidak setuju dengan ICERD. Menteri luar perlu mengambil tanggungjawab kerana terlajak buat komitmen melaksanakan perkara yang tidak mendapat sokongan majoriti rakyat," katanya menerusi kenyataan di Twitter, hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD]
Hari ini, kerajaan mengesahkan tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).
Pejabat Perdana Menteri sebaliknya akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum sewaktu pembentukan negara ini.
Menerusi ciapan terdahulu, Khairy menyatakan keputusan tidak meratifikasi ICERD telah dijangka.
"Saifuddin dan Wisma Putra punca kesilapan utama ini dengan tidak memikirkan perkara ini dan meyakinkan Dr Mahathir untuk membuat komitmen di Perhimpunan Agung PBB.
"Sekarang (tidak meratifikasi ICERD selepas membuat komitmen) adalah langkah memalukan, tetapi perlu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!