Menteri Pendidikan minta diberi masa

Mohd Radzi mengimbas cap jari pada mesin 'clock in' sebagai simbolik beliau melapor diri secara rasmi di Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.
Mohd Radzi mengimbas cap jari pada mesin 'clock in' sebagai simbolik beliau melapor diri secara rasmi di Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin meminta agar diberikan masa untuk mengkaji dan memahami beberapa isu dan dasar berkait dengan kementerian diterajui itu terlebih dahulu.

Dr Mohd Radzi berkata, ruang masa perlu diberikan kepadanya bagi mendalami isu-isu yang berkait dengan kementerian itu antaranya cadangan pelaksanaan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan tulisan jawi yang menjadi polemik ketika ini.

Katanya, beliau juga mahu meneliti dasar sebelum ini seperti Program Sarapan Pagi (PSP) yang telah direncanakan menteri terdahulu, Dr Maszlee Malik.

“Isu PPSMI, jawi dan sarapan pagi izinkan saya tengok dulu. Dalam keadaan pelbagai isu timbul ini, apa yang penting kita pandang ke depan. Kita tidak mahu ditarik oleh isu-isu ini.

“Apa yang kita nak ialah untuk melihat apakah kaedah terbaik yang kita boleh lakukan untuk anak-anak kita, itu yang lebih penting,” katanya selepas melapor diri di Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Mohd Radzi mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kementerian sejurus melapor diri di Kementerian Pendidikan hari ini.
Mohd Radzi mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kementerian sejurus melapor diri di Kementerian Pendidikan hari ini.

Ketibaan beliau disambut Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Radzi berkata, beliau memerlukan sedikit masa agar kementeriannya dapat mencari kaedah terbaik menangani isu pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Ini bukan soal Kementerian Pendidikan sahaja tetapi ia soal masa depan negara dan generasi akan datang.

"Jadi, sebelum saya sentuh sebarang isu, izinkan saya dalami semua itu ke akar umbi untuk melihat kaedah terbaik agar kita dapat bawa pendidikan negara ke tahap lebih hebat lagi.

“Saya rasa berbesar hati, pada masa yang sama rendah diri kerana diberi satu amanah besar oleh Perdana Menteri, selaku menteri kanan untuk melihat bagaimana kita boleh melonjakkan pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Katanya, amanah yang digalas cukup berat kerana kementeriannya adalah kementerian penting dengan keseluruhan kakitangan yang dimiliki seluruh negara berjumlah kira-kira 500,000 orang.

"Ini memerlukan penelitian mendalam, jadi perkara pertama yang saya akan lalukan adalah mendalami dan memahami konteks dan situasi, isu serta perkara yang perlu ditangani dan keutamaan yang perlu kita tekankan dahulu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!