MOFA bekerja sama rapat dengan negara terjejas tangani Covid-19
PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri (MOFA) akan bekerja sama rapat dengan negara-negara yang terjejas dengan koronavirus (Covid-19) dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Wisma Putra akan memainkan peranan dalam membantu negara menangani penularan wabak Covid-19 kerana sekiranya tidak ditangani dengan sempurna, ia akan memberi kesan kepada ekonomi dan psikologi rakyat.
Menurutnya, Wisma Putra juga akan mendapatkan pandangan daripada beberapa pakar luar membabitkan negara-negara yang terjejas termasuklah Emeriah Arab Bersatu (UAE), China dan Singapura.
"Covid-19 sudah menular di seluruh dunia. Kita ada hubungan baik dengan negara luar yang sudah berdepan situasi ini, jadi mengapa tidak kita kongsi dan cari kaedah terbaik untuk tangani wabak ini.
"Ini adalah antara isu yang akan saya bangkitkan dengan Menteri Luar China (Wang Yi) dan Menteri Luar Singapura nanti. Sebab mereka adalah barisan pertama dalam melawan isu Covid-19 contohnya UAE di Timur Tengah dan ini yang akan saya ketengahkan dalam perbualan dengan Syeikh Abdullah Zayed nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan amanat kepada warga kerja MOFA sempena hari pertamanya menggalas tugas sebagai Menteri Luar Negeri di Bangunan Wisma Putra 1 di sini hari ini.
Hadir sama Timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ketua Setiausaha MOFA, Datuk Seri Mohammad Shahrul Ikram Yaakob.
Mengulas lanjut, Hishammuddin menyifatkan usaha membawa masuk pihak yang handal dalam menangani wabak itu dari luar negara sebagai langkah terbaik dan menjadi tugas pertamanya di Wisma Putra.
Selain itu katanya, Wisma Putra turut memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara khususnya di negara-negara yang terkesan dengan Covid-19.
"Bagaimanapun keputusan untuk memindahkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara bukan di bawah Wisma Putra kerana ia melibatkan keputusan dari Kabinet.
"Apa yang kita boleh buat adalah dengan mengemukakan hasil siasatan kita terhadap praktis yang terbaik dari negara luar kepada Kabinet," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!