Azmin pengerusikan mesyuarat dengan 11 agensi di MITI
KUALA LUMPUR - Menteri kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memulakan tugas rasminya hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama dengan 11 agensi di bawah bidang kuasa kementerian itu.
Ketibaan Mohamed Azmin di Menara MITI pada jam 2.55 petang disambut oleh Ketua Setiausaha MITI, Datuk Lokman Hakim Ali bersama-sama kakitangan kementerian serta barisan pengurusan utama agensi-agensi berkenaan.
Selepas majlis taklimat di mana beliau turut menandatangani plak elektronik dan menerima pas kerja rasmi yang disediakan MITI, Mohamed Azmin terus ke bilik mesyuarat.
MITI dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menteri berkenaan Datuk Lim Ban Hong.
Agenda utama yang terkandung dalam mesyuarat itu adalah perancangan pembangunan perindustrian di Malaysia, pelaburan dan perdagangan bagi 2020 serta pada masa akan datang.
Menurut MITI, antara yang menjadi tumpuan adalah Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020, Dasar Automotif Nasional (NAP), Revolusi Perindustrian Keempat, perkembangan semasa negara dan pencapaian dalam perdagangan antarabangsa serta prestasi pelaburan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!