Ronaldinho kekal dalam lokap polis

Ronaldinho (tengah) dan Moreira (kanan) dihadapkan ke mahkamah di Asuncion pada Sabtu lalu. -Foto Agensi
Ronaldinho (tengah) dan Moreira (kanan) dihadapkan ke mahkamah di Asuncion pada Sabtu lalu. -Foto Agensi
A
A
A

ASUNCION - Bekas bintang bola sepak Brazil, Ronaldinho akan kekal berada di dalam tahanan di Paraguay selepas permohonan ikat jamin atau dikenakan tahanan rumah atas tuduhan memasuki negara itu dengan menggunakan pasport palsu ditolak.

Pendakwa raya, Osmar Legal berkata, mahkamah menolak pembebasan bersyarat juara Piala Dunia dan adiknya yang telah ditahan selama lima hari di lokap polis di Asuncion.

Hakim Gustavo Amarilla dalam satu kenyataan memaklumkan kes itu adalah sangat serius selain penemuan bukti baharu termasuk penglibatan pegawai awam dan usahawan yang membantu Ronaldinho memasuki Paraguay.

Beliau turut mengakui langkah tegas yang terpaksa diambil ke atas adik-beradik tersebut kerana untuk memastikan mereka tidak meninggalkan negara tersebut.

Difahamkan, cadangan tahanan rumah turut ditolak kerana hartanah yang ditawarkan sebagai jaminan hanya bernilai AS$750,000 (RM3.1 juta) hingga AS$800,000 (RM3.4 juta).

Ronaldinho, 39, dan abangnya, Roberto de Assis Moreira tiba di negara itu dari Brazil pada Rabu lalu dan menunjukkan pasport mereka kepada pegawai imigresen yang pada mulanya tidak menunjukkan sebarang masalah.

Menurutnya, pasport tersebut diberikan kepadanya oleh individu yang menjemputnya untuk menghadiri satu persidangan ditaja badan amal yang bekerjasama dengan kanak-kanak kurang bernasib baik.

Susulan kejadian itu, seorang ahli perniagaan warga Brazil juga telah ditahan berhubung kes dokumen perjalanan palsu manakala dua wanita rakyat tempatan diletakkan di bawah tahanan rumah.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, peguam Ronaldinho memberitahu, beliau bersama abangnya membawa dokumen Brazil dan diberikan pasport Paraguay kononnya untuk memudahkan urusan mereka di negara itu. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!