Borang pencalonan jawatan tertinggi Bersatu dibuka hari ini

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Borang pencalonan bagi pemilihan jawatan peringkat tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh dimuat turun di laman sesawang rasmi parti di www.pribumibersatu.org.my hari ini atau diperoleh daripada petugas Jawatankuasa Pemilihan di ibu pejabat parti.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, sejajar dengan Perlembagaan dan Peraturan Persidangan Parti, Jawatankuasa Pemilihan akan mengadakan pendaftaran pencalonan untuk pertandingan bagi jawatan-jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi, Jawatankuasa Srikandi Malaysia dan Jawatankuasa Armada Malaysia pada 16 Mac nanti.

Menurutnya, setelah Jawatankuasa Pemilihan menyaring borang-borang pencalonan dan calon disahkan untuk bertanding, cabutan nombor calon akan diadakan pada 23 Mac di ibu pejabat Bersatu.

“Calon atau wakil yang tidak hadir, nombornya akan dicabut oleh Jawatankuasa Pemilihan. Nombor calon yang telah dicabut adalah muktamad,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Syed Hamid lagi, sejumlah 189 Bahagian Bersatu di seluruh negara dijadualkan mengadakan persidangan bahagian masing-masing serentak pada 18 April 2020 ini dan para perwakilan hendaklah memilih kepimpinan parti di peringkat nasional bagi penggal 2019 hingga 2022.

“Jawatan-jawatan yang dipertandingkan ialah Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Pengerusi, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden (tiga orang) dan ahli jawatankuasa (dua puluh orang),” katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!