Tiada pesakit Covid-19 dirawat di Hospital Jerteh
KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menyangkal kenyataan tular kononnya terdapat pesakit dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) yang kini ditahan di wad 7 Hospital Jerteh, Besut.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, tiada sebarang kes Covid-19 yang dirawat di mana-mana hospital di negeri ini sehingga hari ini.
"Kita minta semua lapisan masyarakat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menularkan berita tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azimi berkata demikian susulan kenyataan dimuat naik di laman sosial Facebook Anak-anak Jerteh, Besut (AAJB) berkenaan pesakit Covid-19 yang baru pulang dari Jepun dan dirawat di hospital berkenaan.
Dalam pada itu Nor Azimi turut mengingatkan supaya orang ramai menitikberatkan kebersihan dan kesihatan.
"Secara umumnya bagi mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan, orang ramai dinasihatkan sentiasa menitikberatkan kebersihan diri.
"Perlu kerap mencuci tangan, mengamalkan etika batuk yang betul serta mengamalkan 'social distancing'.
"Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengelakkan daripada mengunjungi lokasi tumpuan ramai dan elak daripada bergaul rapat dengan mana-mana individu bergejala," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!